Ahad, 15 Oktober 2017

Pahang uji 3 muka baru



RKIB : 20/09/2007

KUANTAN – Sesi latihan skuad Liga Super Pahang di Stadium Darul Makmur di sini, semalam disertai tiga pemain baru iaitu Syamsuri Mustafa, Norfazly Alias dan K. Rajan.

Meskipun masih belum ada ikatan kontrak dibuat, ketiga-tiga mereka dikatakan hampir pasti akan beraksi dengan skuad Tok Gajah musim depan.

Kehadiran Syamsuri, bekas penjaga gol kebangsaan dan Terengganu itu bakal menggugat tempat dua lagi penjaga gol Pahang ketika ini, Mohd. Iqbal Suhimi dan Remezey Che Ros.

Abang iparnya, Norfazly yang juga beraksi dengan Terengganu musim ini diambil bagi mengukuhkan posisi pertahanan skuad Pahang.

Pemain sayap, K. Rajan yang berasal dari Negeri Sembilan pula sebelum ini pernah beraksi semusim bersama Selangor (2005/06) sebelum beraksi dengan TMFC sepanjang musim ini.

Dalam sesi latihan semalam, selain tiga pemain baru itu, seramai 14 pemain skuad Tok Gajah musim ini turut dilihat turun berlatih di bawah kendalian pengurus pasukan musim ini, Zainal Abidin Hassan.

Selain itu, seorang pemain Shahzan Muda, Wan Mohd. Ezani Wan Ismail juga dilihat mengikuti sesi latihan berkenaan.

Namun, kelibat beberapa pemain lain seperti Juzaili Samion, Zulkifli Yusof, Rashid Mamud, V. Saravanan, Rosdi Talib, Hairuddin Omar dan Sahrulnizam Sahat masih belum kelihatan selepas dua hari sesi latihan dijalankan.

‘‘Beberapa pemain yang tak hadir ini mempunyai alasan peribadi mereka. Mungkin mereka akan kembali berlatih minggu depan,” kata Zainal yang menggalas tugas pengendali sementara skuad Pahang ketika ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vdhnJPFA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 29 September 2017

Syamsuri dilarang sertai Piala Asia



ARKIB : 17/05/2007 
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD 
KUALA LUMPUR – Tindakan Terengganu merehatkan penjaga gol utamanya, Syamsuri Mustafa selama tiga bulan mulai 1 Mei lalu kerana kes disiplin dan kemerosotan prestasi dalam Liga Malaysia, turut menutup peluangnya untuk menyarung jersi negara ke pusingan akhir Piala Asia, Julai ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, pihaknya akan menyokong segala tindakan ahli gabungannya, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terhadap penjaga gol utama negara itu dan iparnya, Norfazly Alias.

Menurut Ibrahim, FAM juga telah mengambil langkah awal dengan mengetepikan Syamsuri daripada skuad 23 pemain kebangsaan ke Sydney, Australia bagi sesi latihan dan persediaan menghadapi Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai ini lalu digantikan dengan penyerang Pahang, Hairuddin Omar.

“Kami menyokong tindakan itu walaupun kes ini melibatkan seorang pemain negara dan persediaan ke Piala Asia. Tidak perlu FAM menggunakan jawatankuasanya (tatatertib) untuk menimbangkan kes itu secara lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Syamsuri bukan sahaja direhatkan daripada Liga Malaysia bahkan gaji bulanannya dipotong sebanyak 50 peratus sehingga kesnya didengar semula selepas tempoh rehat itu. Tempatnya dalam skuad Penyu itu kini diisi oleh Suhardi Alby dan Sharbinee Allawee.

Nasib Norfazly, benteng Terengganu yang pernah dipanggil menyertai skuad negara menentang Sri Lanka di Colombo, bulan lalu, masih tergantung dan dia diarahkan memberi surat tunjuk sebab mengapa PBSNT tidak boleh mengambil tindakan ke atasnya.

Ketika ini, skuad negara mempunyai dua lagi penjaga gol, Azizon Bakar dari Negeri Sembilan dan Suffian Abdul Rahman dari Telekom dan mungkin memanggil dua lagi pemain daripada skuad Olimpik atau pasukan lain Liga M dalam fasa akhir persediaan Piala Asia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u4dAwuEK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 23 Mei 2017

Penyu rela lepaskan Syamsuri



ARKIB : 18/02/2005

KUALA TERENGGANU - Skuad Terengganu rela `kehilangan' khidmat penjaga gol utamanya, Syamsuri Mustafa yang akan menyertai latihan bersama kelab bola sepak divisyen dua England, AFC Bournemouth bulan depan, demi kebaikan kerjaya dan masa depan pemain tersebut.

Walaupun ia bermakna pasukan itu tidak dapat menggunakan `tangan keramat' milik Syamsuri bagi mengawal gawang gol untuk beberapa perlawanan akan datang, pihak pengurusan akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar pemain itu ke England bermula 1 hingga 21 Mac depan.

Pengurus pasukan, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, pihaknya menyambut baik pemilihan Syamsuri yang juga penjaga gol utama kebangsaan kerana ia mampu meningkatkan kemahiran dan kemampuan pemain itu pada masa depan hasil latihan di negara.

``Saya melihatnya dari aspek positif dan menganggapnya satu penghormatan kepada Terengganu kerana pemain kami dipilih untuk menjalani latihan dengan kelab luar negara.

``Ia juga tanda sokongan negeri ini kepada usaha yang dilakukan oleh FAM demi kemajuan dan masa depan bola sepak negara, kerana saya yakin penghantaran pemain-pemain ini boleh menyumbang kepada matlamat memajukan bola sepak Malaysia,'' katanya di sini, semalam.

Semalam, FAM mengumumkan tiga pemain kebangsaan akan dihantar berlatih dengan Bournemouth sebagai kumpulan pertama di bawah Program Revolusi Bola Sepak Malaysia 2004/2005 yang diperkenalkan persatuan itu dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, baru-baru ini.

Program itu bertujuan merangsang kemampuan pemain dengan corak permainan dan latihan serta memberi pendedahan beraksi dengan kelab luar negara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4hucDjZHB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 16 Mac 2017

Malaysia cipta kemenangan terakhir



ARKIB : 26/03/2001
MALAYSIA 4 PALESTIN 3

Daripada: JOHARI SHAWAL
DOHA, Qatar - Malaysia menamatkan kempen bola sepak kelayakan Piala Dunia 2002 Kumpulan Tiga Asia dengan nota cemerlang selepas mencatat kemenangan 4-3 ke atas Palestin pada perlawanan terakhir pusingan kedua di Stadium Al-Sadd di sini, semalam.

Kejayaan itu sekali gus menebus dendam kekalahan 1-0 skuad negara kepada Palestin pada pusingan pertama di Hong Kong, tiga minggu lalu.

Penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan 67 manakala satu gol masing-masing dihasilkan Hairuddin Omar (53) dan Irwan Fadli Idrus (58).

Bagaimanapun, Malaysia lebih dulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan Palestin seawal minit ketiga oleh penyerang berbahaya, Emad Ayoub El Kair, menewaskan penjaga gol negara, Syamsuri Mustafa.

Terkejut dengan gol itu, Malaysia mengatur semula gerakan dan Akmal menyamakan kedudukan pada minit ke-12.

Ketika Malaysia cuba mempertahankan kedudukan itu, Palestin diberi sepakan penalti selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan Juzaili Samion ke atas Jamal Al-Holi dalam kotak penalti dan Al-Holi menyempurnakan sepakan menjadikan kedudukan 2-1.

Kecewa dengan keputusan pengadil, Malaysia bangkit pada babak kedua, tetapi dikejutkan dengan sepakan penalti kedua, tetapi Syamsuri cemerlang menyelamatkan sepakan ketua pasukan Palestin, Saed Jendeya pada minit ke-52 untuk kedudukan kekal 2-1.

Aksi hebat Syamsuri dibalas dengan gol penyamaan skuad negara seminit kemudian menerusi satu gerakan balas pantas dari sebelah kanan. Shukor melintangkan bola ke tengah kepada Hairuddin yang kemudian mencipta ruang buat Juzaili membuat rembatan tetapi terkena benteng Palestin.

Bola kembali kepada Hairuddin dan penyerang itu mengambil sedikit masa di penjuru kotak penalti sebelum melepaskan tendangan kencang ke penjuru kiri gawang Palestin.

Malaysia tambah yakin untuk melebarkan jaringan dan pada minit ke-58, Akmal dijatuhkan di luar kotak penalti. Irwan Fadli ke depan mengambil sepakan dan lencongan bola cantik ke sebelah kiri menggegarkan gawang Palestin untuk Malaysia di depan dengan 3-2.

Akmal meletakkan Malaysia lebih selesa di depan dengan gol keempat setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67 selepas Hairuddin dijatuhkan oleh Ziyad Alkord.

Kerja Malaysia menjadi agak mudah apabila penyerang dan penjaring gol pertama Palestin, Emad Ayoub dibuang padang setelah dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Ahmad Shahrul.

Namun, meskipun bermain sepuluh orang, Palestin berjaya merapatkan jurang pada minit terakhir perlawanan menerusi rembatan kencang Mohammed Aljeesh sebelum Malaysia menguasai semula permainan dalam waktu kecederaan sehingga wisel penamat dibunyikan.

PALESTIN: Ramzi Saleh, Saeb Jendeya, Hamada Eshbair, Osama Abualia, Khaldun Alwaara, Mohammed Hasanan, Mohammed Aiswarki (Ziyad Alkord), Jamal Al-Holi, Abdalraouf Hajjaj, Fady Abulatifa (Mohammed Aljeesh), Emad Ayoub El Kair.

MALAYSIA: Syamsuri Mustaffa, B. Rajinikandh, Khairil Zainal, Norhafiz Zamani Misbah (Bahtiar Othman), Irwan Fadli Idrus, Juzaili Samion, Shukor Adan, Chow Chee Weng, Ahmad Shahrul Azhar, Hairuddin Omar, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bYsxZFNZ
© Utusan Melayu (M) Bhd