ARKIB : 17/05/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Tindakan Terengganu
merehatkan penjaga gol utamanya, Syamsuri Mustafa selama tiga bulan mulai 1 Mei
lalu kerana kes disiplin dan kemerosotan prestasi dalam Liga Malaysia, turut
menutup peluangnya untuk menyarung jersi negara ke pusingan akhir Piala Asia,
Julai ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, pihaknya akan
menyokong segala tindakan ahli gabungannya, Persatuan Bola Sepak Negeri
Terengganu (PBSNT) terhadap penjaga gol utama negara itu dan iparnya, Norfazly
Alias.
Menurut Ibrahim, FAM juga telah
mengambil langkah awal dengan mengetepikan Syamsuri daripada skuad 23 pemain
kebangsaan ke Sydney, Australia bagi sesi latihan dan persediaan menghadapi
Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai ini lalu digantikan dengan penyerang Pahang,
Hairuddin Omar.
Kami menyokong tindakan itu
walaupun kes ini melibatkan seorang pemain negara dan persediaan ke Piala Asia.
Tidak perlu FAM menggunakan jawatankuasanya (tatatertib) untuk menimbangkan kes
itu secara lanjut, katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Syamsuri bukan sahaja
direhatkan daripada Liga Malaysia bahkan gaji bulanannya dipotong sebanyak 50
peratus sehingga kesnya didengar semula selepas tempoh rehat itu. Tempatnya
dalam skuad Penyu itu kini diisi oleh Suhardi Alby dan Sharbinee Allawee.
Nasib Norfazly, benteng
Terengganu yang pernah dipanggil menyertai skuad negara menentang Sri Lanka di
Colombo, bulan lalu, masih tergantung dan dia diarahkan memberi surat tunjuk
sebab mengapa PBSNT tidak boleh mengambil tindakan ke atasnya.
Ketika ini, skuad negara
mempunyai dua lagi penjaga gol, Azizon Bakar dari Negeri Sembilan dan Suffian
Abdul Rahman dari Telekom dan mungkin memanggil dua lagi pemain daripada skuad
Olimpik atau pasukan lain Liga M dalam fasa akhir persediaan Piala Asia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u4dAwuEK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan