ARKIB : 18/02/2005
KUALA TERENGGANU - Skuad
Terengganu rela `kehilangan' khidmat penjaga gol utamanya, Syamsuri Mustafa
yang akan menyertai latihan bersama kelab bola sepak divisyen dua England, AFC
Bournemouth bulan depan, demi kebaikan kerjaya dan masa depan pemain tersebut.
Walaupun ia bermakna pasukan
itu tidak dapat menggunakan `tangan keramat' milik Syamsuri bagi mengawal
gawang gol untuk beberapa perlawanan akan datang, pihak pengurusan akur dengan
keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar pemain itu ke England
bermula 1 hingga 21 Mac depan.
Pengurus pasukan, Sheikh
Tajudin Sheikh Yusof berkata, pihaknya menyambut baik pemilihan Syamsuri yang
juga penjaga gol utama kebangsaan kerana ia mampu meningkatkan kemahiran dan
kemampuan pemain itu pada masa depan hasil latihan di negara.
``Saya melihatnya dari aspek
positif dan menganggapnya satu penghormatan kepada Terengganu kerana pemain
kami dipilih untuk menjalani latihan dengan kelab luar negara.
``Ia juga tanda sokongan negeri
ini kepada usaha yang dilakukan oleh FAM demi kemajuan dan masa depan bola
sepak negara, kerana saya yakin penghantaran pemain-pemain ini boleh menyumbang
kepada matlamat memajukan bola sepak Malaysia,'' katanya di sini, semalam.
Semalam, FAM mengumumkan tiga
pemain kebangsaan akan dihantar berlatih dengan Bournemouth sebagai kumpulan
pertama di bawah Program Revolusi Bola Sepak Malaysia 2004/2005 yang
diperkenalkan persatuan itu dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,
baru-baru ini.
Program itu bertujuan
merangsang kemampuan pemain dengan corak permainan dan latihan serta memberi
pendedahan beraksi dengan kelab luar negara.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4hucDjZHB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan