Selasa, 23 Mei 2017

Penyu rela lepaskan Syamsuri



ARKIB : 18/02/2005

KUALA TERENGGANU - Skuad Terengganu rela `kehilangan' khidmat penjaga gol utamanya, Syamsuri Mustafa yang akan menyertai latihan bersama kelab bola sepak divisyen dua England, AFC Bournemouth bulan depan, demi kebaikan kerjaya dan masa depan pemain tersebut.

Walaupun ia bermakna pasukan itu tidak dapat menggunakan `tangan keramat' milik Syamsuri bagi mengawal gawang gol untuk beberapa perlawanan akan datang, pihak pengurusan akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar pemain itu ke England bermula 1 hingga 21 Mac depan.

Pengurus pasukan, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, pihaknya menyambut baik pemilihan Syamsuri yang juga penjaga gol utama kebangsaan kerana ia mampu meningkatkan kemahiran dan kemampuan pemain itu pada masa depan hasil latihan di negara.

``Saya melihatnya dari aspek positif dan menganggapnya satu penghormatan kepada Terengganu kerana pemain kami dipilih untuk menjalani latihan dengan kelab luar negara.

``Ia juga tanda sokongan negeri ini kepada usaha yang dilakukan oleh FAM demi kemajuan dan masa depan bola sepak negara, kerana saya yakin penghantaran pemain-pemain ini boleh menyumbang kepada matlamat memajukan bola sepak Malaysia,'' katanya di sini, semalam.

Semalam, FAM mengumumkan tiga pemain kebangsaan akan dihantar berlatih dengan Bournemouth sebagai kumpulan pertama di bawah Program Revolusi Bola Sepak Malaysia 2004/2005 yang diperkenalkan persatuan itu dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, baru-baru ini.

Program itu bertujuan merangsang kemampuan pemain dengan corak permainan dan latihan serta memberi pendedahan beraksi dengan kelab luar negara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4hucDjZHB
© Utusan Melayu (M) Bhd