Ahad, 15 Oktober 2017

Pahang uji 3 muka baru



RKIB : 20/09/2007

KUANTAN – Sesi latihan skuad Liga Super Pahang di Stadium Darul Makmur di sini, semalam disertai tiga pemain baru iaitu Syamsuri Mustafa, Norfazly Alias dan K. Rajan.

Meskipun masih belum ada ikatan kontrak dibuat, ketiga-tiga mereka dikatakan hampir pasti akan beraksi dengan skuad Tok Gajah musim depan.

Kehadiran Syamsuri, bekas penjaga gol kebangsaan dan Terengganu itu bakal menggugat tempat dua lagi penjaga gol Pahang ketika ini, Mohd. Iqbal Suhimi dan Remezey Che Ros.

Abang iparnya, Norfazly yang juga beraksi dengan Terengganu musim ini diambil bagi mengukuhkan posisi pertahanan skuad Pahang.

Pemain sayap, K. Rajan yang berasal dari Negeri Sembilan pula sebelum ini pernah beraksi semusim bersama Selangor (2005/06) sebelum beraksi dengan TMFC sepanjang musim ini.

Dalam sesi latihan semalam, selain tiga pemain baru itu, seramai 14 pemain skuad Tok Gajah musim ini turut dilihat turun berlatih di bawah kendalian pengurus pasukan musim ini, Zainal Abidin Hassan.

Selain itu, seorang pemain Shahzan Muda, Wan Mohd. Ezani Wan Ismail juga dilihat mengikuti sesi latihan berkenaan.

Namun, kelibat beberapa pemain lain seperti Juzaili Samion, Zulkifli Yusof, Rashid Mamud, V. Saravanan, Rosdi Talib, Hairuddin Omar dan Sahrulnizam Sahat masih belum kelihatan selepas dua hari sesi latihan dijalankan.

‘‘Beberapa pemain yang tak hadir ini mempunyai alasan peribadi mereka. Mungkin mereka akan kembali berlatih minggu depan,” kata Zainal yang menggalas tugas pengendali sementara skuad Pahang ketika ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vdhnJPFA
© Utusan Melayu (M) Bhd